The Penita Initiative

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Home > Wawasan 2020

Wawasan 2020

E-mail Print PDF

Visi Negara dan Rakyat Malaysia

Sejarah Wawasan 2020

Pada 28 Februari 1991, semasa pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia Y.A.B. Perdana Menteri, Dato Seri Dr. Mahathir Mohamed telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk "Malaysia - Melangkah ke Hadapan" yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Ianya kemudian dikenali sebagai "Wawasan 2020".

Wawasan 2020 bukanlah merupakan satu dasar khas tetapi merupakan tindakbalas kepada perkembangan ekonomi, social dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat kepada negara. Wawasan ini telah diketengahkan sebagai satu garis panduan dan rangka kerja mengenai pendekatan yang harus diambil dalam memulakan langkah bagi perjalanan jauh yang akan ditempuh oleh negara.

Matlamat terakhir yang dicita-citakan ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad kepada bidang ekonomi sahaja malah ia akan merangkumi segala aspek kehidupan: ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.

Ini bermakna Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan Negara bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi negara maju dengan caranya tersendiri tanpa terikut kepada cara dan corak negara maju yang ada sekarang. Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna yang tidak semata-mata diukur dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal semata-mata malah ia akan meliputi pewujudan satu masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan boleh dicontohi oleh negara-negara lain.

Cabaran merealisasi Wawasan 2020

Objektif di atas hanya boleh dicapai jika rakyat Malaysia dapat menghadapi dan mengatasi pelbagai rintangan yang dianggap sebagai cabaran. Sembilan cabaran yang telah dikenal pasti iaitu:

(i) Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, berkerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara;

(ii) Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain;

(iii) Mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun;

(iv) Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama, dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika paling tinggi;

(v) Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat,kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara;

(vi) Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan;

(vii) Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat lebih utama daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada negara atau individu tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh;

(viii) Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi.Iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama di mana wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan kesemua kemunduran ekonomi berdasarkan kaum; dan

(ix) Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

Perspektif dan keterangan konsep asas Wawasan 2020

Cabaran-cabaran di atas sebenarnya telah membangkitkan beberapa isu utama yang harus dihadapi bagi membolehkan Malaysia mencapai taraf negara maju. Isu-isu ini ialah:-

(i) Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia

Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara bangsa adalah menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi konsep ini istilah seperti perpaduan negara, kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi perlulah difahami dan diamalkan.

(ii) Negara Perindustrian

Negara yang telah berjaya mengubah corak ekonomi dan kehidupannya daripada pertanian kepada perindustrian adalah mempunyai status negara maju. Wawasan 2020 berkehendakkan rakyat Malaysia meneruskan proses transformasi ini yang telah dimulakan sejak merdeka lagi kerana pencapaian sekarang masih lagi di pertengahan jalan.

Ini adalah kerana proses ini bukan sahaja melibatkan transformasi daripada kehidupan bertani kepada perindustrian malah ia juga melibatkan perubahan teknologi, ekonomi, sosial dan kebudayaan. Masyarakat negara maju adalah masyarakat yang didokong oleh kemahiran dan kepakaran sains dan teknologi yang tinggi yang bukan setakat boleh mencedok atau mengubahsuai sahaja tetapi ia mestilah boleh mencipta, menambah dan memperbaharui.

Bagi mencapai taraf Negara perindustrian pertumbuhan ekonomi yangamat pesat amatlah penting. Ia sudah tentunya berkait dengan sumbangan sektor perdagangan dan komersial yang secara langsung melibatkan soal modal, pelaburan, daya saing, kualiti tenaga kerja, berdikari dan kekentalan menghadapi cabaran-cabaran. Di peringkat ini peranan sektor swasta amatlah besar kerana ia akan menjadi jentera Pertumbuhan.

(iii) Keadilan Ekonomi dan Sosial

Penwujudan satu masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memang tidak dapat disangkal sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi bagi penwujudan satu negara maju dan bersatu. Ini ialah kerana dalam sebuah negara maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai segala- galanya sedangkan satu golongan lagi tercicir.

Pernyataan Wawasan ini adalah mempakan penegasan semula keatas isu yang sentiasa diberi dan meminta perhatian utama iaitu pembasmian kemiskinan, keseimbangan sosioekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di antara negeri dan diantara bandar dan luar bandar. Dalam konteks ini Wawasan 2020 sebenarnya telah meminta semua rakyat Malaysia tidak salah tafsir terhadap bantuan yang diberikan kepada sesuatu kaum golongan sebagai tidak adil, sebaliknya hendaklah menganggapnya sebagai satu usaha bagi memperbaiki ketidak-adilan.

Kesungguhan bagi mencapai tahap keseimbangan ini seterusnya telah diterjemahkan ke dalam objektif Dasar Pembangunan Nasional dan dilaksanakan melalui program dan projek Rancangan Malaysia Keenam.

(iv) Moral dan Etika

Berlainan dengan konsep negara maju yang ada sekarang yang lebih bercirikan kebendaan, negara maju ala-Malaysia yang dicita-citakan seharusnyalah berpegang kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan kepercayaan agama. Penganutan falsafah ini adalah penting kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan sebaliknya banyak membawa keburukan. Pengamalan nilai-nilai murni (seperti di dalam Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam) akan menjadi faktor penghalang dalaman untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau kekayaan yang dimiliki.

(v) Pembangunan Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan

Wawasan ini telah mengetengahkan perkara pokok system sosial iaitu pembangunan keluarga berdasarkan hakikat bahawa keluarga menjadi asas pembentukan masyarakat dan masyarakat pula menjadi asas pembinaan negara. Ini membawa maksud bahawa kekuatan dan kemajuan sesebuah negara itu bermula dan terletak pada keluarga dan masyarakat.

Penegasan ini amatlah benar kerana keluarga (rumah tangga) dan masyarakatlah yang mencorakkan kualiti individu yang menjadi rakyat dan pemimpin sesebuah negara. Budaya bangsa yang merangkumi sistem nilai dan cara hidup (termasuk masyarakat penyayang dan budaya menyayangi) sebagaimana yang dicita-citakan dalam Wawasan ini hendaklah digerakkan dari awal lagi dan ini memerlukan rakyat menyedari kepentingan institusi keluarga dalam memajukan negara dan mengambil langkah-langkah perlu bagi mewujudkan keluarga dan masyarakat yang sempurna.

Kesimpulan

Sekali imbas Wawasan 2020 seolah-olah merupakan wawasan ekonomi semata-mata kerana ia mementingkan persoalan pembangunan ekonomi untuk Malaysia menjadi negara perindustrian, tetapi jika dihalusi ia sebenarnya lebih daripada itu oleh kerana ia juga menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan aspek sosial dan cara hidup seperti pembentukan dan keperibadian bangsa, moral dan etika, kebudayaan kebangsaan, pembangunan sumber manusia dan lain-lain.

Wawasan 2020 bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi ia lebih merupakan rangka kerja tindakan framework of action bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju dan makmur. Dalam konteks ini Wawasan tersebut memerlukan beberapa perisian penting, di antaranya ialah kualiti tenaga kerja yang dihasilkan oleh sistem pendidikan, perubahan sikap dan nilai, penekanan keada sains dan teknologi, perancangan, dan peranan sektor swasta yang lebih dinamik.

 

























 
Banner

Quote of the Day

Because I'm a woman, I must make unusual efforts to succeed. If I fail, no one will say, "She doesn't have what it takes." They will say, "Women don't have what it takes."


Clare Boothe Luce


Home > Wawasan 2020

Tuesday, 25th November, 2014

Polls

What is the state of women's voice today?
 

Leadership Workshop