The Penita Initiative

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Home > Tanggungjawab Sosial Korporat

Tanggungjawab Sosial Korporat

E-mail Print PDF

Sumbangan atau Ekspoitasi

Tanggungjawab Sosial Korporat atau ‘Corporate Social Responsibility (CSR)’ semakin hari semakin menjadi harapan pihak kerajaan dan juga masyarakat supaya badan-badan korporat akan memainkan peranan dalam pembangunan kesejahteraan hidup masyarakat. Ini adalah kerana badan-badan korporat sebagai sebahagian daripada sektor swasta telah memperolehi mandat dan kuasa mereka dari masyarakat di bawah prinsip “kontrak sosial.”

Prinsip “kontrak sosial” memerlukan pihak swasta seperti peniaga, pengilang, pengedar, pemborong, peruncit serta golongan professional seperti doktor, peguam, arkitek dan lain-lain memberi perkhidmatan masing-masing dengan penuh beramanah, sempurna dan dengan meletakkan harga yang berpatutan. Mereka dipertanggungjawabkan untuk menyediakan produk dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan dan kemahuan masyarakat tercapai. Mereka tidak seharusnya mengeksploitasikan keadaan dan kejahilan masyarakat sebagai pengguna.

Soal yang timbul kini, sejauh manakah pihak swasta sedang menunaikan CSR mereka dalam menjamin kesejahteraan hidup masyarakat? Isu Penita kali ini meninjau dan mengupas perkara ini. Hasil tinjauan Penita telah menghasilkan lima pandangan umum mengenai isu ini.

 

Badan korporat lebih mementingkan keuntungan daripada kebajikan masyarakat


Tinjauan Penita mendapati orang ramai menerima bahawa tujuan utama badan korporat adalah untuk mencari keuntungan. Kenyataan ini sememangnya tidak boleh disangkal. Lebih keuntungan yang dihasilkan oleh sesebuah badan korporat, bererti lebih berjaya badan korporat itu. Mencari keuntungan bagi badan korporat adalah penting.

Tetapi, pada waktu yang sama juga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat tidak boleh diabaikan. Badan korporat mempunyai tanggungjawab bagi memastikan kebajikan masyarakat juga terbela dalam proses menunaikan tanggungjawab dan mencari keuntungan. Keuntungan badan korporat itu seboleh-bolehnya perlu diperolehi dengan cara pengurusan yang lebih ‘viable’ tanpa mengeksploitasi keadaan dan kejahilan pengguna.

Mengikut tinjauan Penita, lazimnya, apa yang boleh kita lihat adalah CSR tidak dipandang serius oleh kebanyakan badan korporat. Bukan sahaja itu, malah ada badan korporat yang dalam usaha mencari keuntungan mereka mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat. Contoh popular ialah kes pembuangan sisa toksik, pembinaan bangunan dan rumah bermutu rendah serta perkhidmatan curang kepada rakyat khususnya yang berpendapatan rendah tanpa perasaan tanggungjawab.

Perkara seperti ini didedahkan setiap hari oleh media massa khususnya televisyen. Tindakan badan korporat misalnya untuk melupuskan sisa toksik di kawasan lapang, di laut, sungai dan sebagainya membuktikan bahawa mereka lebih mementingkan keuntungan daripada memikirkan kesan berbahaya yang akan timbul akibat perbuatan ini. Contoh-contoh seperti inilah yang menjadi asas kepada pendapat umum bahawa kebanyakan badan korporat itu lebih mementingkan keuntungan daripada kebajikan masyarakat.

Badan korporat menggunakan CSR sebagai helah untuk memajukan perniagaan mereka

Pandangan kedua dalam tinjauan Penita mendapati bahawa kebanyakan badan-badan koprat menggunakan CSR sebagai satu helah untuk memajukan perniagaan mereka. Mengikut maklumbalas yang diperolehi, terdapat badan-badan korporat menggunakan isu CSR sebagai satu ‘alat’ atau batu loncatan untuk meningkatkan nama dan perniagaan mereka melalui sokongan dan bantuan kepada masyarakat.

Mereka beranggapan jika mereka melaksanakan CSR dan mempromosikan perbuatan mereka seluas-luasnya melalui media, maka imej mereka akan meningkat menjadi lebih baik. Masyarakat akan memandang tindakan mereka sebagai satu perbuatan ibadah yang mulia. Ini dengan sendirinya dapat meningkatkan jasa dan prestasi mereka bagi membantu melariskan perniagaan mereka.

Sebagai contoh, tidak lama dahulu apabila berlaku bencana tsunami dan gempa bumi di Pakistan dan Indonesia ramai badan korporat menghulurkan derma kepada mangsa-mangsa bencana ini. Bagi menyampaikan bantuan ini ada antara mereka yang menganjurkan majlis besar-besaran dengan kehadiran orang-orang berkuasa seperti ahli politik dan menteri – menteri ke upacara penyampaian cek. Usaha menghulurkan bantuan, mereka buat pelbagai persiapan untuk mendapatkan publisiti seluas-luasnya. Mereka sediakan model cek yang besar untuk diserahkan kepada tetamu khas seperti menteri yang diundang untuk merasmikan uapacara itu. Mereka menjemput pemberita dan dif-dif kerhormat dan membuat ‘press conference’ atau sidang akhbar serta menyediakan makanan untuk meraikan upacara tersebut. Kadang-kadang kos yang ditanggung untuk menganjurkan majlis publisisti sebegini adalah jauh lebih besar daripada jumlah sumbangan yang diberikan oleh mereka.

Tindakan mereka menganjurkan majlis sebegini akan memberikan publisiti dan tanggapan kepada masyarakat dan semua pihak bahawa mereka mengambil berat tentang isu masyarakat yang timbul. Realitinya, CSR yang dilaksanakan itu merupakan sebahagian daripada strategi mencari publisiti seluas-luasnya untuk badan korporat memajukan perniagaan mereka. Mereka mengatakan keadaan ini sebagai “win-win situation” iaitu keadaan dimana kedua-dua pihak mendapat keuntungan. Soal eksploitasi korporat sebenarnya terselindung bahawa alasan ingin beribadah dan berjasa kepada masyarakat.

Tumpuan kebanyakan CSR adalah untuk mencari pengaruh dan sokongan orang–orang berkuasa


Tinjauan Penita juga mendapati bahawa ada badan-badan korporat yang melibatkan diri menunaikan CSR membuat demikian bukan dengan niat ingin membantu masyarakat yang benar-benar memerlukan bantuan. Sebaliknya, mereka menggunakan CSR sebagai satu strategi mencari pengaruh dan sokongan orang-orang yang berkuasa. Ada badan-badan kebajikan dan sukarela yang benar-benar bertungkus-lumus berkhidmat dan berjasa dalam menolong golongan masyarakat yang miskin dan daif. Tetapi, mereka jarang mendapat bantuan dan sokongan daripada badan-badan korporat.

Tetapi sebaliknya, persatuan atau projek yang diusahakan oleh orang-orang berkuasa, samada isteri atau anak-anak mereka, senang mendapat sokongan dan bantuan badan-badan korporat. Dalam tinjauan ini, Penita mendapat maklumbalas beberapa contoh mengenai perkara ini dari beberapa pemimpin badan-badan amal dan sukarela. Mengikut kata mereka, ada badan korporat menawarkan bantuan dan “smart partnership” kepada orang-orang berkuasa dan berpengaruh tanpa dipohon. Bantuan diberi adalah dalam ratusan ribu. Perbuatan seperti ini mengikut maklumbalas tinjauan Penita semakin hari semakin berleluasa dan menunjukkan bahawa badan korporat gunakan amalan CSR sebagai satu strategi mencari pengaruh dan kuasa.

Impak kebanyakan CRS menyumbang ke arah memupuk budaya hidup materialistik dan hiburan

Pandangan keempat yang diperolehi hasil daripada tinjauan Penita mendapati bahawa pada masa kini badan-badan korporat lebih tertarik untuk melaksanakan CSR yang popular dan yang diminati ramai. Misalnya, tajaan hiburan saperti rancangan-rancangan atau aktiviti hiburan seperti ‘JomHeboh” (dahulu dikenali sebagai “SureHeboh”), “Akademi Fantasia”, MyTeam dan sebagainya yang sering mendapat tajaan daripada badan-badan korporat.

Tetapi, apabila rakyat biasa yang mengalami kesusahan, jarang badan-badan korporat ingin tampil untuk menghulurkan bantuan. Jikalau bantuan diberikan sekalipun, bantuan yang diberikan itu dibuat untuk mencari publisiti melalui bantuan tersebut. Jarang bantuan diberikan untuk menolong mengatasi masalah.

Tindakan badan-badan korporat mempromosikan rancangan hiburan, peluang memenangi hadiah, cabutan bertuah serta aktiviti-aktiviti peraduan khasnya melalui SMS, dengan tidak sengaja menimbulkan kesan pembangunan negatif. Tinjauan Penita dapati ia membangkitkan satu kesan dan gejala negatif khasnya dikalangan golongan remaja.

Gejela negatif itu ialah peningkatkan budaya hidup materialistik dan sentiasa inginkan hiburan. Golongan remaja seolah-olah diasuh dan didik untuk lebih sukakan kepada kebendaan dan hiburan lebih daripada disiplin kerja, bersifat jimat cermat dan bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Ramai berpendapat bahawa masalah sosial yang dihadapi masyarakat hari ini ada kaitan dengan cara hidup materialistik dan hiburan yang dipromosikan begitu hebat oleh badan-badan korporat. Maka tidak hairanlah corak pembangunan kita menjana budaya hidup kebendaan dan materialistik.

Badan korporat menggunakan kejayaaan dan usaha badan amal, badan swadaya dan masyarakat yang berjaya sebagai asas menunaikan CSR

Satu lagi pendapat yang diperolehi hasil daripada tinjauan Penita adalah bahawa badan- badan korporat sentiasa memilih badan amal, badan swadaya dan masyarakat yang sudah berjaya dan mempunyai ramai penyokong bagi menjayakan CSR mereka. Lazimnya, isu-isu berkaitan dengan kebajikan masyarakat yang diutarakan dan diperjuangkan oleh badan swadaya serta masyarakat tidak selalunya mendapat sokongan badan korporat.

Apabila badan korporat diminta untuk turut serta dalam perjuangan mereka (badan swadaya dan masyarakat), seribu satu alasan diberi. Tetapi, apabila usaha badan swadaya berjaya memperjuangkan isu berkenaan atas usaha mereka sendiri, barulah badan korporat ingin turut sama dalam memberikan bantuan dan sokongan.

Pendek kata, selagi badan amal, badan swadaya, dan masyarakat tidak berjaya, badan korporat tidak mahu melibatkan diri kerana khuatir ia akan membawa kepada kerugian. Badan korporat hanya mahu terlibat dalam sesuatu yang berkepentingan dan mendatangkan keuntungan kepadanya. Maka, mereka sentiasa menunggu dan melihat. Apabila badan amal, swadaya, dan masyarakat kerja bertungkus lumus dan memperolehi kejayaan ada banyak badan korporat ingin sertai bersama.

Bak kata pepatah “ Lembu punya susu sapi dapat nama ”. Itulah apa yang dapat kita tafsirkan berkenaan hal penglibatan badan korporat dalam menunaikan CSR dengan kerjasama badan amal, swadaya, dan masyarakat.

Membina CSR - pucuk dicita

Usaha pembangunan negara memerlukan sumbangan serta penyertaan semua pihak. Biarlah usaha ini diibarat pucuk dicita ulam mendatang. Apa harus badan-badan korporat lakukan bagi benar-benar menunaikan CSR demi memajukan kesejahteraan hidup masyarakat?

Dari hasil tinjauan dan pendapat aktivis sosial Penita telah sediakan 5 panduan bagaimana badan-badan korporat boleh bertindak dalam menunaikan CSR dengan ikhlas dan jujur seperti berikut:

  • Mereka perlu menguruskan perniagaan mereka secara tulus dan beretika dan ini dengan sendirinya akan menjamin keadaan perniagaan yang lebih adil dan sempurna.

  • Mereka perlu menguruskan perniagaan mengikut undang-undang serta budaya hidup tempatan. Tindakan ini pula akan menjamin budaya tempatan lebih dihormati serta undang-undang negara dipatuhi.

  • Badan-badan korporat perlu memberi keutamaan kepada kebajikan pekerja mereka. Dengan tindakan ini, badan korporat boleh menjamin kesejahteraan hidup pekerja dan keluarga mereka.

  • Badan-badan korporat perlu menunaikan tanggungjawab mereka menjamin kepuasan serta keselamatan pelanggan dan pengguna terjamin daripada perniagaan mereka. Ini akan melahirkan satu keadaan sempurna untuk pelanggan, pengguna, dan masyarakat.

  • Akhir sekali, ialah tindakan mereka terhadap kebajikan masyarakat. Membantu dan berjasa kepada masyarakat adalah sebahagian daripada CSR yang perlu mereka tunaikan bagi menjamin kesejahteraan hidup masyarakat.

Kesimpulannya, CSR boleh didefinisikan sebagai kewajipan pihak korporat mengurus perniagaan mereka secara tulus dan beretika, menguruskan perniagaan mengikut undang-undang serta budaya hidup tempatan, memberi keutamaan kepada kebajikan pekerja mereka, menunaikan tanggungjawab mereka menjamin kepuasan serta keselamatan pelanggan serta pengguna dan berjasa kepada masyarakat menjamin kesejahteraan hidup masyarakat.

Badan korporat perlu mengambil perhatian bahawa CSR bukan sekadar membantu dan berjasa kepada masyarakat sahaja. CSR meliputi segala tanggungjawab badan korporat sebagai warga dalam negara termasuk terhadap masyarakat sejata.


 
Banner

Quote of the Day

Because I'm a woman, I must make unusual efforts to succeed. If I fail, no one will say, "She doesn't have what it takes." They will say, "Women don't have what it takes."


Clare Boothe Luce


Home > Tanggungjawab Sosial Korporat

Friday, 22nd August, 2014

Polls

What is the state of women's voice today?
 

Leadership Workshop