The Penita Initiative

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Home > Penswastaan

Penswastaan

E-mail Print PDF

Perkhidmatan atau Keuntungan?

Apakah tujuan sebenar penswastaan utiliti-utiliti seperti elektrik, telekomunikasi, jalanraya dan lain-lain? Adakah dorongan proses penswastaan ini untuk meningkatkan perkhidmatan kepada masyarakat atau satu helah untuk mencari keuntungan semata-mata? Inilah persoalan yang akan dikupas oleh Majalah PENITA Isu 4/2006 kali ini.

Tiga sebab utama tujuan penswastaan yang sering diberikan oleh ahli ekonomi dan sumber daripada kerajaan. Ini adalah untuk menyokong proses penswastaan.

Sebab pertama adalah bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat. Mengikut pendapat mereka, pihak swasta adalah lebih cekap dan efisyen berbanding sektor awam dalam menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat khasnya perkidmatan utiliti-utiliti asas. Keadaan ini sudah tentu menjadikan keputusan menggunakan pihak swasta mengendalikan perkhidmatan adalah satu keputusan pengurusan yang bijak.

Sebab kedua penswastaan diwujudkan kerana pihak swasta lebih kos efisyen dan dapat mengurangkan kos operasi serta pengurusan di dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat.

Sebab ketiga adalah bahawa penswastaan dapat membantu kerajaan dan mengurangkan beban kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan yang diusahakan. Sebaliknya pula kerajaan boleh memperolehi pendapatan melalui cukai daripada hasil penswastaan yang telah diusahakan oleh pihak swasta.

Ini adalah satu situasi di mana semua pihak mendapat keuntungan dan kemenangan(”Win-Win Situation”) iaitu rakyat, pihak swasta dan kerajaan. Itulah secara ringkasnya tujuan utama sebab penswastaan diusahakan. Tujuan asas penswastaan adalah hasrat kerajaan memberi perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada masyarakat dengan sempurna dan kos yang rendah.

Sekiranya apa yang ternyata di atas adalah benar, kenapa masih ramai yang tidak berpuas hati dan membuat kritikan terhadap proses penswastaan? Mengikut tinjauan Penita mengenai hal ini wujud beberapa pandangan, persepsi dan sungutan mengenai proses penswastaan dihasilkan. Semua tinjauan yang diperolehi itu diringkaskan ke dalam lima tajuk utama iaitu :

 

1. Penswastaan bererti kerajaan mengakui kelemahan pengurusannya

Inilah pendapat ramai khasnya aktivis badan swadaya dan bukan kerajaan. Mengikut pendapat seorang pemimpin badan swadaya, alasan yang diberi bahawa pihak swasta adalah lebih cekap dan efisyen daripada sektor awam dalam menyediakan perkhidmatan kepada rakyat khasnya utiliti-utiliti asas. Kenyataan ini diperakuai oleh kerajaan sendiri bahawa prestasi serta keberkesanan pengurusan kerajaan tidak setanding dengan pihak swasta.

Kebetulan sektor awam adalah sektor yang amat penting demi menjaga pentadbiran dan pengurusan kerajaan dan negara. Justeru itu sudah tentu kakitangan yang diambil bekerja dengan sektor awam mestilah daripada golongan yang berkelulusan tinggi, mempunyai potensi, kemahiran pengurusan yang tinggi serta benar-benar komited untuk berjasa kepada rakyat, Raja dan negara.

Sebaliknya, mengikut pendapat seorang pemimpin lain pula, kakitangan kerajaan nampaknya kini seolah-olah ’pengurus kelas-2’ walhal pengurus-pengurus di swasta adalah ’pengurus kelas-1’. Kenyataan beliau ini diperakui oleh kerajaan sendiri apabila mereka memberikan penjelasan mengapa terpaksa menswastakan utiliti-utiliti penting negara.

2. Penswastaan bererti kerajaan sudah mengabaikan tanggungjawabnya

Ini adalah satu lagi pendapat oleh kumpulan kritikan penswastaan. Mereka merasakan bahawa kerajaan sedang mengambil jalan mudah di dalam hal pengurusan negara dengan penswastaan. Sebagai contoh mereka berpendapat bahawa pihak kerajaan tidak ada ”political will” iaitu kesungguhan politik untuk mengurus dan bertindak tegas terhadap penyelewengan dan rasuah seperti di dalam sektor swasta.

Mereka berpendapat bahawa rasuah dan penyelewengan menjadi amalan biasa dalam sektor awam apabila sistem politik kurang kesungguhan bertindak. Inilah sebab mengikut pandangan kumpulan kritikan tersebut mengapa pihak sektor awam kurang efisyen dan cekap berbanding dengan pihak swasta.

Sebagai bukti kumpulan kritikan tersebut menceritakan satu cerita berkaitan abang dan adik. Cerita ini mengisahkan seorang abang yang berkelulusan rendah menjalankan perniagaan menjual pokok-pokok, bunga-bunga, alat-alat kebun, pasu, baja dan menawarkan perkhidmatan landskap. Sebaliknya berlainan pula dengan adiknya yang berkelulusan tinggi dalam hal pengurusan dan perniagaan bekerja sebagai pengurus besar dalam satu syarikat pertanian kerajaan. Syarikat pertanian itu juga menyediakan perkhidmatan yang lebih kurang sama kepada petani dan kepada agensi-agensi kerajaan.

Apa yang dapat dilihat, syarikat yang diuruskan oleh adiknya yang dimiliki kerajaan itu setiap tahun mengalami kerugian walaupun ianya penuh dengan pekerja-pekerja berpelajaran tiggi dan disokong penuh oleh kerajaan. Walhal syarikat yang dimiliki abangnya seorang yang kurang berpelajaran mengalami keuntungan setiap tahun walaupun terpaksa berusaha tanpa sebarang sokongan.

Apakah kesimpulan cerita ini? Jawapannya ialah sikap yang wujud adalah sikap tidak mempunyai kesungguhan bertindak dalam sektor awam dan bukannya kerana tidak mempunyai kebolehan atau keupayaan seperti di dalam sektor swasta. Kerajaan mengambil jalan yang mudah dengan menswastakan utiliti-utiliti.

Seolah-olah disebabkan kita tidak dapat tindak menghapuskan seekor nyamuk, kita sanggup membakar kelambu. Inilah ibaratnya tindakan kerajaan menswastakan utiliti-utiliti penting.

3. Penswastaan adalah satunya cara membalas sokongan pihak korporat kepada ahli politik

Ini adalah satu lagi pandangan yang diutarakan oleh ramai khasnya pemerhati politik dan ahli-ahli akademik. Seorang ahli akademik menerangkan bahawa dalam proses politik demokrasi, ahli-ahli politik memerlukan kewangan bagi mencari kuasa politik. Terdapat pihak swasta sanggup ’melabur’ dengan menyokong ahli-ahli politik yang mereka ramal mempunyai potensi untuk menang dan berkuasa.

Apabila ahli politik yang mereka sokong itu berjaya maka mereka yang berpengaruh dengan kuasa politik itu akan mulai memperolehi faedah tertentu untuk perniagaan mereka. Mengikut beliau ”system patronage” ini adalah perkara biasa dalam politik negara Amerika dan Britain.

Apa yang Amerika dan Britain lakukan walaupun ianya curang tetapi ianya diterima pakai oleh ramai sebagai satu amalan luar biasa yang boleh diterima. Apabila Margaret Thathcher, Perdana Menteri Britain memperkenalkan penswastaan sebagai satu cara mengurus ekonomi negara, tindakan beliau telah dicontohi banyak negara-negara membangun termasuk Malaysia. Tidak banyak persoalan atau pun perbincangan umum diadakan bagi mengkaji impak proses ini. Seperti apa berlaku di Britain banyak negara-negara membangun telah menggunakan penswastaan sebagai satu helah bagi membalas sokongan korporat terhadap politik mereka dalam kerajaan.

Malah dalam laporan kerajaan juga menunjukkan bahawa kerajaan sedar bahawa pencapaian sektor swasta dalam ekonomi agak lemah tetapi pihak swasta masih memberi sambutan baik dalam proses penswastaan. Projek-projek yang diswastakan adalah projek pengangkutan, pembinaan dan utiliti. Persoalan disini adalah setulus manakan proses penswastaan negara kita.

4. Penswastaan adalah proses mencari keuntungan tanpa risiko

Bukan sahaja penswastaan menjadi helah bagi membalas sokongan korporat terhadap ahli ahli politik tetapi caranya dan syarat yang dipersetujui dalam proses penswastaan itu memberi perlindungan daripada sebarang risiko dan kerugian kepada pihak swasta yang terlibat. Dalam banyak kes penswastaan terdapat pihak kerajaan memberi jaminan kepada pihak swasta bahawa kerajaan akan memberi pampasan dan ganti rugi sekiranya syarikat itu tidak memperolehi keuntungan yang diramalkan. Mengikut tinjauan kami perkara ini juga berlaku di negara kita di Malaysia.

Penita menerima banyak sungutan termasuk dari pihak swasta sendiri bahawa syarat- syarat yang dikenakan dalam perjanjian penswastaan kadangkala memihak kepada pihak swasta melebihi daripada kepentingan untuk rakyat. Seorang ahli perniagaan telah membuat kritikan bahawa syarikat-syarikat yang memperolehi penswastaan mendapat kemudahan modal asas tanpa pelaburan kerana pelaburan itu telah pun disediakan oleh kerajaan daripada cukai wang ringgit rakyat. Mengikut pendapat beliau penswastaan adalah proses mencari keuntungan tanpa risiko.

5. Penswastaan adalah proses memperkukuhkan ekonomi ala-kapitalis

Krisis yang dihadapi oleh dunia hari ini, iaitu krisis politik, ekonomi, sosial, moral dan alam sekitar semuanya dikaitkan dengan model pembangunan yang kita amalkan hari ini. Model pembangunan yang kita amalkan hari ini adalah sistem pembangunan ekonomi ala-kapitalis. Kepentingan segala pembangunan adalah keuntungan wang ringgit semata mata dan bukan kualiti dan nilai hidup masyarakat.

Kualiti dan nilai hidup masyarakat hanya menjadi alasan bagi menggerakkan pembangunan ala-kapitalis. Tujuan sebenar pembangunan ala kapitalis adalah bagi mencari keuntungan. Tujuan mencari keuntungan sudah menular masuk ke dalam semua proses membuat keputusan dalam segala hal pembangunan. Jadi tidak hairanlah kita melihat politik dipengaruhi oleh tujuan mencari keuntungan dan segala perhubungan sosial juga dipengaruhi oleh tujuan mencari keuntungan. Maka proses penswastaan adalah satu lagi bukti yang menunjukkan bahawa ianya memperkukuhkan ekonomi ala-kapitalis yang menjadi punca krisis dunia kita hari ini.

Ternyata proses penswastaan seperti yang terdapat hari ini adalah lebih cenderung ke arah mencari keuntungan lebih daripada memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Ini lah keputusan dan pendapat ramai yang telah Penita tinjau. Mungkin wujud cara yang lebih berkesan dan efektif yang boleh diikhtiarkan untuk memberi perkhidmatan kepada rmasyarakat di mana kepentingan rakyat diutamakan. Ramai berpendapat bahawa sekiranya pihak swasta boleh memperolehi keuntungan dengan menyediakan utiliti-utiliti dan mengapa pula kerajaan tidak boleh membuat demikian melalui syarikatnya sendiri?

Kesan ke atas Wanita

Keadaan menyediakan perkhidmataan awam dengan kewangan daripada pihak swasta akan membawa pelbagai impak antaranya adalah pembayaran perkhidmataan yang sebelum ini dibiayai daripada sistem pencukaian. Dengan menggunakan kanta gender, ia mendedahkan impak yang membebankan wanita.

Dalam menjalankan proses penswastaan ini, amatlah penting untuk memastikan kedudukan wanita dijamin dan tidak dibebankan akibat kos perkhidmatan meningkat, keadaan pasaran kerja yang tidak seimbang, kekurangan peluang untuk mewujudkan kesatuan sekerja supaya menjamin keadaan tempat kerja, gaji yang lebih rendah, keadaan hak tempat kerja yang berkurangan, waktu kerja yang tidak terjamin dan juga kekurangan ”benefits”.

Kesimpulan

Apa yang mereka harus dilakukan adalah pengurusan yang tegas, pemantauan yang cekap dan tekad yang bersungguh-sungguh mempertahankan kedaulatan negara dan kepentingan rakyat. Dalam proses ini kerajaan boleh melibatkan penyertaan dan kerjasama badan-badan swadaya yang lebih mementingkan kebajikan masyarakat daripada mencari keuntungan. Penita sangat berharap agar proses penswastaan difikirkan semula dan satu proses yang lebih inovatif dan lebih berperanan kepada masyarakat dapat diusahakan.


 
Banner

Quote of the Day

Because I'm a woman, I must make unusual efforts to succeed. If I fail, no one will say, "She doesn't have what it takes." They will say, "Women don't have what it takes."


Clare Boothe Luce


Home > Penswastaan

Wednesday, 1st October, 2014

Polls

What is the state of women's voice today?
 

Leadership Workshop